KUANTAN, 27 Dis 2019 — Seorang pekerja restoran mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam sehingga kerugian RM13,612, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof.
Beliau berkata wanita berumur 25 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada wakil Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam yang dia mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM10,300 sebelum disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai sarjan polis.
“Lelaki yang mendakwa dirinya polis memberitahu mangsa bahawa namanya dikaitkan dengan siasatan kes pengubahan wang haram dan dadah menyebabkan dia perlu bercakap dengan pegawai atasan berstatus ‘datuk’.
“Suspek ketiga yang kononnya bergelar ‘datuk’ itu mengarahkan mangsa berkongsi maklumat peribadi perbankan online miliknya kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya mangsa mendakwa menyedari wang di dalam akaunnya berkurangan selepas membuat semakan secara dalam talian di rumah pada sebelah petang menyebabkan dia segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Sementara itu, beliau berkata seorang penyelia sebuah syarikat penghantaran di Bera membuat laporan di IPD Bera semalam berhubung seorang pekerjanya yang mencuri dua telefon bimbit yang sepatutnya dihantar kepada pelanggan.
Mohd Wazir berkata perbuatan suspek berusia 22 tahun itu terbongkar selepas dua pelanggan membuat aduan pagi semalam berhubung kelewatan penghantaran telefon bimbit mereka.
“Berdasarkan aduan itu, penyelia syarikat telah memeriksa log penghantaran dan mendapati barangan tersebut ditandakan sebagai telah dihantar.
“Pemeriksaan menerusi rakaman kamera tertutup (CCTV) menunjukkan suspek telah mengambil dua telefon jenis OPPO A3S dan Redmi Note 8 yang kedua-duanya bernilai RM1,118,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA