Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh (tiga, kiri) menyampaikan sembangan banjir kepada Penghulu Mukim Bunohan Abdullah Yunus, 50, yang mewakili mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bunohan hari ini.

SKM Peruntuk Dana RM30,000 Kepada Koperasi Terlibat Bencana

TUMPAT, 7 Dis — Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM30,000 kepada koperasi seluruh negara yang terlibat dengan bencana, kata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh.

Beliau berkata koperasi yang terlibat dengan bencana boleh mengemukakan permohonan kepada SKM untuk mendapatkan dana itu bagi kegunaan seperti membaik pulih projek dan infrastruktur koperasi yang terjejas akibat bencana seperti banjir serta kebakaran.

“Peruntukan khas kecemasan itu merupakan sebahagian dasar kami bagi membantu koperasi yang mengalami musibah,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Bunohan di sini, hari ini.

Nordin berkata pihaknya turut menyalurkan bantuan barangan mentah bernilai RM20,000 kepada mangsa banjir di Kelantan.

“Kami mempunyai dasar bagi membantu rakyat yang menghadapi musibah. Jumlah nilai tidak penting kepada kami, namun apa yang penting adalah usaha kami untuk membantu rakyat yang memerlukan terutamanya yang terlibat bencana alam seperti banjir,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories