Parlimen: Seramai 91,978 Pemandu E-Hailing Dapat Lesen PSV – Loke

KUALA LUMPUR, 4 Dis 2019 — Seramai 91,978 pemandu perkhidmatan e-hailing berjaya mendapat Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) setakat Isnin lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata seramai 42,818 calon lagi gagal dengan kebanyakannya telah mengambil peperiksaan semula PSV.

“Lesen PSV dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk semua pemandu kenderaan perkhidmatan awam yang merangkumi teksi dan bas.

“Jumlah terkumpul lesen PSV yang masih aktif ialah 358,944, manakala jumlah PSV untuk pemandu teksi ialah 28,860 orang,” katanya ketika sesi soal jawab lisan bagi pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai bilangan pemandu e-hailing yang berjaya dan gagal mendapat lesen PSV.

Menurut Loke, kewujudan perkhidmatan e-hailing memberi peluang kepada penumpang memilih perkhidmatan awam yang lebih cepat, murah dan efisien untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Selain itu, katanya perkhidmatan itu juga membuka peluang pekerjaan kepada semua golongan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan pemandu wanita yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Pemandu juga katanya boleh memilih untuk bekerja secara sepenuh masa atau sambilan bagi mencari pendapatan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan tempoh percubaan bagi mengkaji pelaksanaan perkhidmatan e-hailing motosikal di negara ini termasuk melibatkan pelbagai aspek keselamatan penumpang wanita dan penyelarasan tambang.

“Tempoh percubaan atau pilot project itu akan dijalankan di sekitar Lembah Klang supaya kita dapat lihat bagaimana sistem ini dapat dilaksanakan serta isu atau masalah yang timbul.

“Kementerian mengambil berat isu melibatkan keselamatan penumpang wanita. Kita memang beri pilihan kepada mereka untuk memilih pemandu wanita kalau nak menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Loke menjawab soalan tambahan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai peruntukan khas berkaitan keselamatan penumpang wanita sekiranya pelaksanaan khidmat e-hailing motosikal dilaksanakan di negara ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.