Pekerja Asing: KDN Teliti Cadangan SPRM Dulu

PUTRAJAYA, 2 Dis: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti kewajaran cadangan menyerahkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini kepada Kementerian Sumber Manusia, menurut Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu, katanya memerlukan penelitian lanjut memandangkan proses kemasukan warga asing, sama ada bekerja mahu pun melancong, perlu melalui pintu masuk Malaysia yang dikendalikan Jabatan Imigresen, di bawah KDN.
Beliau berkata, kerana itu, sekiranya berlaku sebarang perlanggaran undang-undang oleh warga asing terbabit, misalnya pas kerja yang melampaui tempoh masa, Jabatan Imigresen masih mempunyai kuasa untuk menahan dan menghukum berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kalau dia (warga asing) nak bekerja pun, tidak boleh terus masuk bekerja. Kena masuk pintu masuk Malaysia mengikut dasar yang kita laksanakan dan mematuhi undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Imigresen.

“Cuma selepas masuk, mereka mendapat permit untuk bekerja.

“Selepas itu, mereka tertakluk dengan undang-undang pekerjaan dan akta berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia, termasuk pembayaran gaji serta apa yang diwajibkan kepada majikan,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas sambutan Hari Imigresen di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya baru-baru ini yang mencadangkan proses kemasukan pekerja asing dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia selepas melihat perlunya ada penambahbaikan dalam sistem berkenaan.

Foto: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *