Dana RM2.5 Bilion AIM Bakal Manfaatkan 400,000 Usahawan

KANGAR, 8 Sept: Sejumlah RM2.5 bilion yang diperuntukan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi pembiayaan mikro pada tahun ini dijangka dapat memanfaatkan sehingga 400,000 golongan miskin sehingga hujung tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Junaidah Kiting, berkata pembiayaan itu disasarkan kepada mereka yang mendaftar dengan agensi berkenaan iaitu para usahawan yang juga dikenali sebagai Sahabat AIM.

Ditubuhkan pada September 1987, AIM menawarkan skim pembiayaan kredit mikro berpenyeliaan rapi kepada golongan miskin bagi mengusahakan sebarang kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki sebagai cara menambah pendapatan keluarga.

Sehingga kini, menurut Junaidah seramai 342,202 orang telah mendaftar sebagai Sahabat AIM.

“Setakat Julai lepas, RM1.6 bilion dana peruntukan telah dikeluarkan bagi membantu Sahabat AIM dengan penambahan keanggotaan kira-kira 50,000 orang.

“Peningkatan jumlah ini menunjukkan para wanita peka untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dan AIM sentiasa memberi manfaat kepada golongan B40 untuk keluar daripada garis kemiskinan,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas Majlis Bual Bicara Membangunkan Usahawan Wanita di Auditorium Institut Latihan Perindustrian (ILO) Kangar di sini, semalam.

Majlis diadakan bersempena Fiesta Sahabat AIM yang antara lain, bertujuan memberi peluang kepada usahawan AIM memperkenalkan produk dan perniagaan, selain membuka ruang kepada lebih ramai wanita menyertai AIM.

 

Foto: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *