Majikan Diingatkan Utamakan Keselamatan Dan Kebajikan Pekerja

SEREMBAN, 21 Julai 2017 (Bernama) — Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perladangan, Sumber Manusia dan Kampung Baru Negeri Sembilan Datuk L. Manickam mengingatkan majikan di negeri ini supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja mereka pada setiap masa.

Ini kerana Malaysia memerlukan sumber tenaga kerja yang produktif dan aktif bagi membantu mencapai matlamat, visi dan juga misi yang dicita-citakan, katanya.

“Tanpa perhatian terhadap aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, cita-cita ini sudah pasti sukar untuk dicapai. Sebagai majikan dan pekerja, kita seharusnya sentiasa menerapkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke dalam diri kita.

“Oleh itu, berwaspada terhadap keselamatan dan kesihatan sepraktik yang boleh pada setiap masa. Kita hendaklah hindarkan kemalangan semasa melakukan tugas kerana kita tidak mahu kelak diperlekehkan orang kerana tidak mengamalkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri Izani Mohd Zain.

Sementara itu, katanya, Negeri Sembilan mencatatkan 197 kes kemalangan industri di tempat kerja bagi tempoh Januari hingga 14 Julai lepas.

Jumlah itu termasuk empat maut dan lima hilang upaya kekal.

“Berbanding tahun lepas, 344 kes kemalangan industri termasuk 12 maut dan 14 hilang upaya kekal,” katanya.

Manickam berkata setakat Mac tahun ini, terdapat tiga kes pendakwaan di mahkamah dengan jumlah denda RM27,000 manakala 12 syarikat telah dikompuan.

Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berlangsung selama lima hari sejak Isnin lepas dengan penganjuran pelbagai program seperti seminar dan senamrobik.

Penganjuran program ini merupakan satu usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan serta kesihatan di tempat kerja. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories