Syarikat Malaysia Terajui Transformasi Digital Di Asia Pasifik – Kajian

KUALA LUMPUR, 6 Feb 2020 — Syarikat-syarikat Malaysia menerajui transformasi digital di Asia Pasifik dengan 58 peratus daripada eksekutif peringkat C melihat pulangan yang dapat diukur daripada inisiatif itu, demikian menurut satu kajian oleh Workday.

Peneraju global dalam teknologi perusahaan bagi kewangan dan sumber manusia itu berkata syarikat-syarikat diunjur menyumbang 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun depan menerusi usaha kerajaan untuk memacu ekonomi digital pada masa akan datang.

“Pembentangan Belanjawan 2020 menggariskan hasrat kerajaan untuk menggalakkan kemampuan organisasi tempatan dengan memperkukuh kandungan digital dan memanfaatkan pendigitalan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Global Line Network, Sebastian Tan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menerusi transformasi digital, syarikat-syarikat boleh mempertimbang untuk berkembang di pasaran asing.

“Dengan memanfaatkan data dan analisis, syarikat boleh diberikan jaminan bahawa penglibatan mereka di pasaran sedang pesat membangun, disokong oleh strategi yang berpacukan data, penempatan kedai dan produk akan memberikan perkhidmatan yang bersesuaian kepada pelanggan baharu dan sedia ada,” kata Tan.

Menerusi transformasi digital, beliau berkata syarikat boleh mengoptimumkan jualan dengan menggunakan jualan berpacukan data yang memerlukan analisis data dan pasaran untuk menjangka tingkah laku pelanggan selain mendigitalkan tenaga jualan.

Langkah ini akan membolehkan pelanggan membeli produk tanpa berinteraksi dengan jurujual.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories