Ternakan Ikan Susu Berpotensi Jadi Sumber Pendapatan – Salahuddin

SUNGAI PETANI, 9 Jan 2020 — Industri ternakan ikan susu mempunyai potensi besar dijadikan sumber pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada masyarakat luar bandar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata perusahaan spesies ikan itu atau nama saintifiknya ‘Chanos chanos’ juga sesuai dijalankan secara penternakan kontrak yang turut berupaya menyediakan peluang pelaburan dan perniagaan.

“Kerajaan melalui MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) akan sentiasa beri segala kemudahan khidmat nasihat dengan kepakaran kita daripada Jabatan Perikanan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan promosi ikan itu di Syarikat Usaha Fadzilat (M) Sdn Bhd dekat sini hari ini.

Syarikat itu merupakan syarikat pertama di Semenanjung yang berjaya menternak ikan susu di kawasan seluas 200 ekar (kira-kira 80 hektar) di Batu Lintang dekat sini sejak 2017.

Syarikat itu memiliki pensijilan MyGAP dan Sijil Kualiti Ikan (FQC) dikeluarkan Jabatan Perikanan dan kini telah menghasilkan hampir 1,000 tan metrik ikan bernilai RM7.5 juta secara kumulatif sejak mula ia mengusahakan ternakan ikan berkenaan.

Salahuddin berkata kementerian amat menggalakkan pengusaha terutama golongan muda mengambil peluang menceburi perusahaan ikan berkenaan yang bukan sahaja mudah cara penjagaannya dan tidak memerlukan kos yang tinggi malah juga mempunyai permintaan amat baik dalam pasaran.

“Syarikat Usaha Fadzilat ini boleh jadi sebagai peneraju untuk perusahaan ikan susu dan saya mengharapkan pihak syarikat juga tidak keberatan untuk membimbing sekiranya ada pengusaha lain yang berminat untuk menceburi bidang (mengusahakan ikan susu ini),” katanya.

Beliau berkata selain rasanya yang lemak dan lembut, ikan susu juga kaya dengan protein dan Omega-3.

— BERNAMA

6 thoughts on “Ternakan Ikan Susu Berpotensi Jadi Sumber Pendapatan – Salahuddin

  1. Pingback: kinetisch zand
  2. Pingback: buy viagra
  3. Pingback: Belcampo Anya

Leave a Reply

Your email address will not be published.