Kekosongan 693,305 Jawatan Diperinci

PUTRAJAYA, 17 Nov: Sebanyak 693,305 jawatan kosong telah diperincikan Kementerian Sumber Manusia, di mana kurang 10 peratus daripadanya membabitkan pekerjaan peringkat siswazah iaitu sebanyak 50,325 tempat.

Manakala 642,979 lagi membabitkan kategori pekerjaan bukan siswazah.

Kementerian itu, menerusi satu kenyataannya, baru ini mengumumkan berdasarkan statistik portal JobsMalaysia sehingga 31 Ogos lalu, kekosongan aktif bagi kategori tinggi membabitkan juruteknik dan profesional bersekutu dengan 22,944 kekosongan, diikuti profesional (21,034) dan pengurusan (6,348).

Kategori sederhana, iaitu perkhidmatan dan jualan mencatatkan 25,586 kekosongan jawatan, diikuti perkeranian (6,622) dan pekerja mahir pertanian, perhutanan dan perikanan (1,083).

Kekosongan aktif bagi kategori rendah pula, menurut kenyataan itu lagi, membabitkan operator, loji, mesin dan pemasang iaitu sebanyak 99,029 jawatan serta pekerja pertukangan dan yang berkaitan (21,421) di samping pekerja asas (489,238).

Begitu pun, dari Januari hingga Ogos lalu, ada seramai 270,288 orang pendaftar aktif dengan 197,193 daripadanya membabitkan golongan siswazah manakala baki, 73,095 bukan siswazah telah mendaftar sebagai pencari kerja.

“Penempatan pencari kerja keseluruhan pada tahun 2018 ialah seramai 168,677 orang pencari kerja yang terdiri daripada 47,073 siswazah dan 121,604 bukan siswazah. Bagi tahun 2019 pula, sehingga Ogos seramai 61,871 pencari kerja telah ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan,” katanya.

Survei Guna Tenaga Suku Tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), menurutnya mencatatkan peningkatan dalam jumlah penjawatan sektor swasta iaitu 145,000 berbanding suku tahun terdahulu, iaitu 8,619,000 jawatan berbanding 8,474,000 bagi tempoh sama, tahun sebelumnya.

Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, DOSM, turut merekodkan kadar pengangguran menurun pada Ogos tahun ini iaitu pada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada tempoh sama, tahun lalu, melibatkan jumlah 525,000 orang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories