Hapuskan Monopoli Kemasukan Buruh Asing, Terutama Bangladesh – KDM

PETALING JAYA, 14 Nov: Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing (KDM) menggesa kerajaan supaya menghapuskan sebarang bentuk monopoli mengenai kemasukan tenaga kerja warga asing, terutama dalam kalangan rakyat Bangladesh.

Pengerusinya, Datuk Seri P Thiagaraja, berkata ada kekhuatiran sekiranya berlaku kronisme melalui pelaksanaan sistem baharu kelak berikutan penggantungan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) pada September lalu.

Ini kerana, berdasarkan siasatan awal pihaknya, beliau mendakwa semua agensi yang dilantik sebelum ini adalah dari Bangladesh sebelum diluluskan oleh SPPA.

“Sistem Permohonan Pekerja Asing adalah satu badan kerajaan, sebelum ini mereka melantik 10 agensi yang juga rakan mereka dan daripada situ berlakunya monopoli.

“Jadi kami tidak mahu perkara yang sama berlaku, walaupun sistem baharu melantik 50 agensi, jika kronisme berlaku sudah tentu tiada beza dengan sistem sebelum ini,” katanya, memetik kenyataannya pada media di sini, hari ini.

Lebih malang, menurut Thiagaraja, pekerja asing berkenaan dikenakan yuran pemprosesan antara RM15,000 dan RM20,000 yang disifatkan tidak munasabah dan punca berlaku lambakan pendatang tanpa izin (PATI) di negara ini.

“Tenaga buruh ini datang untuk apa? Untuk mendapatkan pendapatan buat keluarga mereka di Bangladesh. Tetapi apabila yuran dikenakan terlalu tinggi, mereka terpaksa meminjam wang dan membayar balik.
“Jika dikira gaji mereka RM1,050, RM1,100 sebulan dengan tempoh dua tahun, mereka tidak mampu membayar hutang terbabit, sekaligus mereka mengambil jalan untuk tinggal lebih tempoh dan menjadi PATI,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories