Kepentingan Literasi Emosi Dalam Isu Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR, 27 Okt 2019 — Terdapat keperluan untuk memberi penekanan terhadap kepentingan literasi emosi yang menjadi asas kepada kepada kesihatan mental, kata Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata literasi emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar dan ia perlu diintegrasikan dengan persekitaran pembelajaran.

“Mengintegrasikan literasi emosi dalam persekitaran pembelajaran adalah sangat penting bagi membolehkan pembelajaran bersama dalam kelas, dengan guru dan pelajar memberikan ruang untuk saling menghargai selain membina hubungan yang baik antara guru dan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menegaskan bahawa literasi emosi adalah mengenai perasaan dan pemahaman, beliau berkata untuk menjadi pelajar yang efektif dalam literasi emosi, mereka perlu diintegrasikan di rumah (bimbingan ibu bapa) dan di sekolah (bimbingan guru).

“Ini membentuk satu rangka kerja untuk pelajar membangunkan harga diri, keyakinan diri dan kemahiran hidup iaitu komunikasi dan kemahiran personal,” katanya.

Lee berkata terdapat keperluan untuk menggalakkan pelajar untuk mempunyai ‘suara’ bagi memastikan mereka didengari, memupuk suasana dalam kelas di mana perbincangan dan perselisihan pendapat boleh berlaku.

Menekankan bahawa pelajar mesti digalakkan untuk bebas menyatakan perasaan mereka, beliau berkata sangat penting ketika dalam perbualan – cuba bercakap dengan mereka dan bukannya kepada mereka, membenarkan pertukaran idea dan pandangan, dan yang paling penting membenarkan mereka mempunyai ruang untuk mendengar dan didengari.

“Mereka juga perlu digalakkan untuk bersuara dan berupaya untuk berkongsi perbezaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata pengurusan sesebuah organisasi perlu berusaha untuk menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang kebajikan pekerja dengan mengadakan dialog terbuka di tempat kerja, sama ada melalui acara berpasukan, perbincangan atau bertemu ketika makan tengah hari atau minum petang .

Lee yang juga Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia berkata baru-baru ini kajian menunjukkan pekerja yang mengalami ‘burnout’ kurang melibatkan diri dan tidak produktif.

Memandangkan kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kesihatan mental pekerja, beliau berkata majikan juga harus menunjukkan empati kepada pekerja dan memastikan pekerja merasakan mereka telah membuat pilihan yang tepat apabila bertemu dengan pegawai atasan untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan.

Beliau berkata kesihatan mental sering menjadi topik bukan keutamaan dalam kalangan masyarakat dan kerajaan, dan tidak mendapat perhatian sewajarnya berbanding masalah kesihatan lain.

“Hakikatnya, kerajaan, pengamal kesihatan awam dan masyarakat memberikan kurang perhatian dan sumber untuk kesihatan mental walaupun penderitaan disebabkan oleh penyakit dan gangguan mental agak mengejutkan,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories