Kelantan Peruntuk RM350,000 Realisasi Jelapang Makanan Negara

PASIR PUTEH, 4 Ogos 2019 — Kelantan memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi merealisasikan agenda negeri itu sebagai Jelapang Makanan Negara di bawah konsep Bertani Satu Ibadah dan agro pelancongan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata ia bertujuan menampung keperluan makanan penduduk yang semakin bertambah selain menarik pelancong berkunjung ke negeri itu.

“Kerajaan antara lain akan membangunkan Zon Pertanian dan Pelancongan di Jeram Mengaji di sini dengan melaksanakan projek ternakan lembu tenusu membabitkan kos kira-kira RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) di Pantai Bisikan Bayu di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri juga bercadang membangunkan ladang ternakan arnab pedaging dan pusat pembiakan dan taman arnab melalui kerjasama Persatuan Penternak Arnab Pedaging Kelantan (APEK) dan Yayasan Amanah Tok Kenali membabitkan peruntukan RM100,000.

Tuan Mohd Saripuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising berkata projek berkenaan juga bertujuan dijadikan pusat kajian pengeluaran hasil ternakan arnab dan pembangunan produk hiliran arnab serta taman pelancongan yang akan menjana ekonomi penduduk setempat.

Katanya projek lain termasuk membangunkan Taman Santuari Darul Naim melalui kerjasama Persatuan Darul Naim Entrepreneur of Stingless Bee Society (DRONESS) dan Yayasan Amanah Tok Kenali dengan peruntukan RM100,000.

“Projek itu bertujuan menjadikan satu repositori dan pusat perlindungan genetik bagi spesis kelulut disamping sebagai pusat pembiakbakaan induk kelulut untuk kemandirian ekosistem dan menjadikan pusat kajian penghasilan madu berlainan spesis,” katanya.

Tuan Saripuddin berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan tanaman Tebu Telor dengan fasa pertama membabitkan 40 petani untuk membangunkan tanaman itu di kawasan seluas 0.4 hektar bagi setiap peserta.

Menurut beliau, tanaman itu akan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan termasuk proses jualan dan pemasaran bagi tujuan eksport ke pasaran antarabangsa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories