Projek ECRL Dijangka Beri Manfaat Kepada Kontraktor, Sektor PKS

DUNGUN, 25 Julai 2019 — Pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat akan memberi manfaat dan impak positif kepada golongan kontraktor tempatan yang sememangnya mengintai peluang yang boleh dimanfaatkan daripada projek berskala besar.

Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT), Zamri Awang Hitam menarik perhatian bahawa kali terakhir projek mega dilaksanakan di Terengganu ialah Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) yang siap beberapa tahun lalu.

“Selepas itu dilihat tiada lagi projek besar malah projek kecilpun berkurangan menyebabkan ramai kontraktor kecil terpaksa gulung tikar,” katanya kepada Bernama berhubung pelancaran semula ECRL yang berlangsung di tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam ucapannya pada majlis itu memaklumkan bahawa peratusan penglibatan kontraktor pembinaan tempatan dalam projek itu akan ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus.

“Kita harap dengan penyediaan kuota 40 peratus untuk kontraktor tempatan itu akan membantu mereka bangkit daripada kesusahan,” kata Zamri yang mengetuai persatuan dengan kira-kira 1,300 ahli itu.

Pembinaan projek ECRL itu ditangguhkan sejak Julai tahun lepas apabila kerajaan mahu berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Zamri seterusnya berkata pihak persatuan telah mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk merebut peluang dalam projek ECRL itu.

Beliau berkata PKMMT memiliki ramai kontraktor yang memiliki kepakaran daripada pelbagai aspek termasuk kerja-kerja tapak, elektrik dan sebagainya.

Bagi pemilik sebuah syarikat pembinaan, Tengku Mahri Tengku Chik, pelancaran semula ECRL memberi nafas baharu bukan sahaja kepada golongan kontraktor malah penduduk di kawasan berkenaan dari segi sosioekonomi.

“Kerajaan telah memberi jaminan bahawa kuota kerja 40 peratus akan diisi oleh kontraktor tempatan, tinggal lagi pihak kita (kontraktor) perlu mempersiapkan profil syarikat dengan lebih kukuh bagi merebut tender,” katanya.

Selain kontraktor, pelancaran semula projek ECRL itu dijangka memberi manfaat kepada usahawan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pantai Timur.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) Amir Hakimin Che Razali berkata kira-kira 113,000 usahawan PKS di Kelantan, Terengganu dan Pahang perlu mengambil langkah proaktif dan merebut peluang yang bakal wujud daripada pelaksanaan projek itu.

“Majlis pelancaran semula ECRL hari ini menjadi titik tolak perubahan sosioekonomi secara langsung yang sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Pantai Timur,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, PKS Pantai Timur lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan diikuti sektor pembuatan serta sektor pembinaan, perlombongan dan pertanian.

Mengulas lanjut, Amir Hakimin berkata ketiga-tiga negeri Pantai Timur itu sudah lama memerlukan rangkaian perhubungan dan pembangunan yang seiring dengan Pantai Barat.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.