PLUS Guna Azure Microsoft Untuk Memodenkan Perkhidmatan Lebuh Raya

PETALING JAYA, 25 Jun 2019 — Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar di negara ini, Plus Malaysia Bhd (PLUS), mula melaksanakan transformasi digital dengan mengintegrasikan sistem awan Microsoft iaitu Azure ke dalam rangkaian lebuh raya bertolnya untuk mentransformasi dan memodenkan pengalaman lebuh raya Malaysia.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata rangka kerja disediakan platform Azure akan membuka ruang bagi analisis data besar dan operasi kecerdasan buatan (AI) dipertingkat, yang dapat menambah baik ramalan kesesakan, perancangan perjalanan lebih baik dan keselamatan di lebuh raya PLUS.

“Berikutan rangkaian lebuh raya kita terus berkembang di seluruh Malaysia, dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna jalan raya yang sentiasa bertambah, kami mengakui perlunya untuk bukan sahaja mentransformasinya secara digital, tetapi juga mengguna pakai budaya organisasi yang baharu.

“Menerusi kerjasama dengan peneraju industri seperti Microsoft, kami menyasarkan untuk membawa perniagaan kami ke barisan hadapan inovasi, di dalam negara dan serantau, dan pada masa yang sama menangani cabaran dibawa Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kerjasama dengan Microsoft Malaysia di sini, hari ini.

Katanya PLUS juga akan memanfaatkan Azure Key Vault untuk melindungi data dalam awan menerusi penggunaan kunci kriptografik, yang mampu mengurangkan kesilapan data, meningkatkan operasi dan kutipan tol elektronik bersepadu dan akhirnya meningkatkan kecekapan sebanyak 40 peratus atau 600 jam pekerja sebulan.

“Dengan lebih 1.7 juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS setiap hari, syarikat memerlukan penyelesaian yang mampu menganalisis data pada amaun besar secara efisien dan efektif.

“Dengan menggunakan Azure sebagai asasnya, PLUS menyasarkan untuk melaksanakan siri penambahbaikan di masa depan dalam operasinya termasuk analisis video bersepadu, yang dijangka dapat mengurangkan keperluan staf dan mengatasi kebocoran kewangan dianggarkan RM2.7 juta dalam kerugian hasil tahunan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata kerjasamanya dengan PLUS membuktikan visinya untuk memperkasakan setiap orang dan setiap organisasi di bumi ini untuk mencapai lebih baik lagi.

“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada PLUS yang menjadi penyedia perkhidmatan lebuh raya yang pertama di Malaysia dan di rantau ini yang berjaya mengintegrasikan Azure ke dalam rangkaian lebuh rayanya.

“Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan PLUS bagi membolehkan mereka mencapai lebih baik lagi daripada sebelumnya,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *