KULIM, 2 Disember 2018: Kerajaan memberi jaminan pekerja tempatan tidak akan terjejas susulan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952.
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pemansuhan itu tiada kaitan dengan pekerja tempatan dan mereka tidak perlu bimbang dengan hak serta keistimewaan yang diperoleh selama ini.
“Semua pekerja Malaysia dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Pemansuhan ini adalah sebahagian daripada janji kita kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa di mana kita tidak boleh mendiskriminasi pekerja tempatan dan luar negara.
“Jangan bimbang, saya akan pastikan pekerja tempatan tidak mengalami apa-apa kekurangan sebaliknya dapat lebih daripada itu,” katanya ketika melawat Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kebimbangan beberapa pihak yang khuatir pekerja tempatan akan dipinggirkan dengan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952.
Kulasegaran berkata, pemansuhan ini juga bersifat kemanusiaan kerana memberi perlindungan kepada pekerja asing.
“Kejadian runtuhan di Bukit Kukus, Pulau Pinang menyaksikan ramai pekerja asing mati begitu sahaja tanpa sebarang perlindungan insurans.
“Kita kena faham, ramai juga rakyat kita yang bekerja di luar negara. Di Singapura sahaja ada 400,000 pekerja kita di sana. Adakah kita tidak mahu mereka dilindungi?
“Jika kita mahu mereka di luar negara dilindungi, kita juga perlu melakukan perkara sama di sini,” katanya.
BH Online