KUALA LUMPUR, 23 Januari 2019 — Sebanyak 64 majikan didakwa di Mahkamah Majistret dengan 96 pertuduhan kerana gagal mematuhi Akta-akta yang dikuatkuasakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Pengarahnya Mohd Asri Abd Wahab hari ini berkata daripada jumlah itu, 46 majikan mengaku bersalah dan didenda RM69,600 keseluruhannya manakala 13 majikan dikompaun atas pelbagai kesalahan melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.
Beliau berkata operasi dan serbuan dilakukan berikutan aduan yang diterima daripada pelbagai sumber contohnya pengadu hadir sendiri, melalui telefon, ibu pejabat, media dan juga sumber-sumber lain.
“Di antara kesalahan yang sering dilakukan majikan ialah membuat potongan gaji tanpa kebenaran Ketua Pengarah, membayar gaji lewat, gagal menyediakan kontrak pekerjaan secara bertulis dan tidak memberikan penyata gaji kepada pekerja.
BERNAMA