Seramai 2,681 ODP Berjaya Dapat Pekerjaan – Musa

JEMPOL, 20 Dis 2019 — Seramai 2,681 Orang Di Parol (ODP) telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor bagi tempoh 1 Jan hingga Rabu lepas.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA, Kementerian Dalam Negeri Datuk Musa Sulaiman berkata ini susulan kejayaan program yang dilaksanakan dengan kerjasama Felcra Bhd menerusi Latihan Pintar Korporat (CSI) yang mula dilaksanakan sejak 2016.

“Mereka telah ditempatkan di 81 buah syarikat dan majikan melibatkan 132 lokasi di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Program Naziran dan Pemberian Sumbangan Kepada ODP Felcra Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) Ibrisam Abdul Rahman dan Pengarah Bahagian Perladangan, Pemulihan dan Penyatuan Felcra Bhd Datuk Abdul Mutalib Tais.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tahun lepas, seramai 1,237 ODP telah berjaya mendapat perkerjaan selepas tamat program parol berbanding 574 ODP pada 2017.

Beliau berkata sejak program CSI dilaksanakan sehingga semalam, seramai 34,074 banduan telah diberikan Pelepasan Secara Parol dan 98 peratus berjaya menamatkannya dengan cemerlang.

Program CSI dilaksanakan 44 buah lokasi Felcra Bhd di 11 negeri.

Sementara itu, program parol yang mula dilaksanakan sejak 2008 bertujuan untuk mempersiapkan diri banduan untuk kembali kepangkuan masyarakat menyaksikan peningkatan.

“Untuk tahun ini sahaja, permohonan untuk program parol adalah hampir 11,000 permohonan dan sebanyak 5,947 ODP berjaya.

“Ia meningkat sebanyak 1.5 peratus berbanding tahun lepas iaitu seramai 5,743 ODP yang berjaya permohonan mereka,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *