UNIMY rancang anjur lebih banyak acara berkaitan IR 4.0, 5G, Data Raya – Naib Canselor

KUALA LUMPUR, 14 Jan — University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY) merancang untuk menganjurkan lebih banyak acara berkaitan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), 5G dan Data Raya untuk menawarkan suatu perspektif mengenai kerjaya dengan potensi masa depan cerah dipacu oleh teknologi digital dan bidang digital lain kepada golongan muda.

Naib Canselor UNIMY Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata ini adalah susulan maklum balas yang diberi terhadap satu kursus dalam talian yang dihoskannya semalam disertai kira-kira 200 daripada universiti tempatan dan antarabangsa.

“Berdasarkan maklum balas yang menggalakkan itu, UNIMY merancang untuk menjadi tuan rumah kepada lebih banyak acara seumpamanya pada masa akan datang untuk menyediakan generasi digital platform untuk cita-cita masa hadapan, mengetengahkan prospek cerah e-dagang, Industri 4.0, Automasi dan Kecerdasan Buatan.

Acara seumpama itu akan menawarkan peserta perspektif tentang kerjaya masa depan yang dipacu teknologi digital dan bidang teknologi lain, ketika semua negara kini berusaha ke arah merealisasikan satu visi yang sama, melangkau sempadan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kursus latihan dalam talian mengenai 5G dan Data Raya itu berlangsung selama tiga hari dan merupakan sebahagian daripada Siri Simposium Inisiatif Jalur dan Laluan universiti itu yang dianjurkan bersama Guangdong Polytechnic of Science and Technology (GDIT).

Ia turut dianjurkan bersama Computer Engineering Technical College (Arti cial Intelligence College – GDIT), Southeast Asia Research Centre for Humanities (SEARCH) dan MyEdu Training Centre.

Mohd Razali berkata UNIMY percaya bahawa menjadi sebahagian daripada inisiatif Laluan Sutera Digital akan menguatkan pembentukan asas penting ke arah memudahkan pertukaran budaya, teknologi dan peluang perniagaan antara China dan Malaysia, dengan menyasarkan generasi yang cekap menggunakan internet.

“UNIMY seterusnya berharap agar kolaborasi itu akan menjadi jambatan kepada hubungan strategik yang lebih erat. Harapan kami agar kedua-dua institusi akan berusaha untuk mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan penyelidikan, kerjasama teknikal, dengan meneruskan pendidikan dan khidmat komuniti berasaskan kesaksamaan dan manfaat bersama,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA