KUALA LUMPUR, 11 Jan — Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang melaksanakan Kajian Perlindungan Keselamatan Sosial Rakyat Malaysia Bekerja Di Luar Negara 2022.
Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata kajian awal dengan kerjasama Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia ini akan memberi fokus kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Kajian ini bermatlamat membina ekosistem pro l, mengumpul maklumat dan mengenal pasti keperluan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dalam usaha membina jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif.
“Sasaran responden bagi soal selidik ini adalah individu yang menepati kriteria iaitu rakyat Malaysia yang berada di Singapura sama ada bekerja, tidak bekerja atau bagi tujuan lain; rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi sedang berada di Malaysia; dan rakyat Malaysia yang pernah bekerja di Singapura pada tahun 2020 hingga 2022.
“Sehubungan itu, kerjasama daripada individu yang menepati kriteria di atas adalah dimohon untuk berkongsi input mereka kepada kajian ini melalui soal selidik yang dilaksanakan secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.
Dianggarkan seramai 150,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura untuk bekerja sebelum pandemik COVID-19 melanda akan terlibat
dalam kajian yang dijalankan.
“Daripada jumlah tersebut, dianggarkan sekitar 90,000 rakyat Malaysia masih berada dan bekerja di Singapura sepanjang tempoh 2021.
“Penyertaan rakyat Malaysia yang menepati kriteria yang digariskan amat penting dalam memastikan maklumat yang dikumpul adalah tepat dan dapat diguna pakai dalam menentukan rangka serta tindakan seterusnya,” menurut kenyataan itu.
Soal selidik kajian boleh diakses dengan melayari pautan https://myworkabroad.perkeso.gov.my/index.php mulai 10 Jan 2022 sehingga 28 Feb 2022. Sebarang pertanyaan, sila e-mel ke myworkabroad@perkeso.gov.my.
Sumber: BERNAMA