PUTRAJAYA, 10 Jan — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menjalin kerjasama dalam penghasilan produk inovasi, bagi membantu golongan pekerja yang mempunyai keupayaan berbeza akibat kecederaan atau penyakit.
Kerjasama Perkeso dan YIM itu, dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) di sini hari ini, yang antara lain turut melibatkan perkongsian platform dalam mengenal pasti keperluan kumpulan sasar, serta memperkenalkan program-program dan projek-projek inovasi yang dijalankan YIM.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata melalui MoU itu, YIM menyediakan kemudahan geran yang memfokuskan kepada proses pembangunan produk inovasi dan reka cipta, untuk peserta program Return To Work (RTW) Perkeso.
Pembangunan produk inovasi itu termasuklah projek reka cipta peralatan, modi kasi aspek pekerjaan dan aspek yang memudahkan peserta RTW Perkeso dan golongan sasar untuk kembali bekerja dengan mudah dan selamat, katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.
MoU itu ditandatangani Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM Sharmila Mohamed Salleh, disaksikan Dr Adham dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
RTW Perkeso merupakan program pengurusan hilang upaya yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan dalam membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat.
“Usaha (MoU) ini bertujuan menjadikan golongan (sasar) ini relevan dan kompeten dalam bidang pekerjaan,” kata Saravanan.
Sumber: BERNAMA
49 thoughts on “Perkeso, YIM jalin kerjasama hasil produk inovasi”
Comments are closed.