SHAH ALAM, 28 Dis — Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada 10 buah keluarga warga KKMM dan agensi di bawahnya yang terjejas akibat banjir di sekitar Selangor.
Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek menyerahkan sumbangan itu kepada warga KKMM dan agensi kementerian antaranya Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Beliau berkata setakat hari ini, seramai 446 warga KKMM daripada pelbagai agensi terkesan ekoran bencana banjir yang melanda di beberapa negeri dan diharapkan sumbangan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita)
Cawangan KKMM sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.
“Antara bantuan yang disumbangkan termasuk wang tunai, Kotak Kasih KKMM berisi bahan makanan dan barangan penjagaan kendiri, dapur gas mudah alih, peralatan memasak, selimut, serta kit pelitup muka dan pembersih tangan agar mangsa banjir kekal selamat
daripada virus COVID-19,” katanya kepada pemberita di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.
Pada masa sama katanya, misi bantuan KKMM juga telah digerakkan sejak 19 Dis lepas dengan pengumpulan barangan dan sumbangan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di negeri-negeri terlibat banjir melalui Kelab KKMM dan sukarelawan Komuniti Keluarga Malaysia yang setakat hari ini seramai 900 orang.
Terdahulu, mangsa banjir yang disantuni iaitu Penyunting di Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris, Perkhidmatan Perniagaan dan Kewangan Bernama Chong Yinn Chuan menzahirkan rasa terima kasih atas sumbangan yang diberikan.
“Saya tak dapat pergi ke pejabat, tetapi hari ini (orang) pejabat yang datang ke rumah dan saya ucapkan banyak-banyak terima kasih di atas bantuan dan lawatan ini,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM80,000 akibat banjir.
Turut hadir dalam lawatan tersebut Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus dan beberapa warga Bernama.
Penerbit Rancangan TV1 (RTM) Suriyani Abdul Razak pula berkata beliau amat terharu dengan bantuan-bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan termasuk menolong mencuci kediamannya susulan air banjir naik hingga ke tingkat
satu rumah.
“Bantuan memang banyak diterima daripada agensi-agensi kerajaan, rasa syukur sangat dengan bantuan ini dapat tampung sedikit sebanyak dan kunjungan dari warga KKMM hari ini menunjukkan mereka juga prihatin dengan nasib yang menimpa kakitangan,” katanya.
Sumber: BERNAMA