MAIWP Mobile Clinic ke misi banjir bantu mangsa di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 27 Dis — Musibah banjir yang melanda negara minggu lepas dianggap medan baharu untuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyantuni masyarakat selaras dengan pelancaran bas bergerak untuk tujuan perubatan, MAIWP Mobile Clinic hasil kerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata bas dua tingkat tersebut yang ditumpukan untuk merawat asnaf dan fakir miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan menuju ke Hulu Langat esok bagi memberikan rawatan kepada mangsa banjir
di sana.

“Sesuai dengan pelancarannya hari ini, Mobile Clinic akan ke Hulu Langat esok selama tiga hari untuk menyantuni mangsa banjir dengan memberi rawatan sebaik mungkin,” katanya ketika melancar dan melawat bas tersebut di Bangunan PERKIM di sini hari ini.

Menurut Mohd Daud, selain membantu mangsa banjir di Hulu Langat, bas tersebut juga akan digerakkan ke Pahang, Kelantan dan Terengganu mengikut kepada keperluan.

Beliau berkata selain RM800,000 yang diperuntukkan MAIWP untuk bas dua tingkat berkenaan, peruntukan tambahan RM3 juta juga akan diberikan kepada MAPIM untuk menyantuni lebih ramai golongan memerlukan bantuan perubatan secara percuma.

Bas dengan empat buah bilik konsultansi dan dua bilik rawatan tersebut akan beroperasi menggunakan khidmat pasukan perubatan MAPIM dan untuk misi banjir ini mereka dibantu oleh Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Hospital Pusrawi, MAIWP Healthcare dan
Universiti Mahsa.

Mohd Daud berkata selepas misi banjir, MAIWP Mobile Clinic akan berada di kawasan padat penduduk di Kuala Lumpur tiga hari seminggu bermula hujung Disember ini untuk memberikan rawatan perubatan dan khidmat kaunseling secara percuma.

Sumber: BERNAMA