Saravanan adakan lawatan kerja ke Indonesia, tumpu isu MoU PDI

PUTRAJAYA, 4 Dis — Memorandum Persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) adalah antara agenda dalam rangka lawatan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ke Jakarta, Indonesia mulai esok
(5 Dis) hingga 7 Dis ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan Saravanan itu adalah susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia bulan lepas (9-12 Nov).

Dalam sidang media bersama Ismail Sabri dan Presiden Indonesia Joko Widodo sempena lawatan itu, mereka telah menyatakan komitmen untuk menyegerakan pemeteraian MoU PDI bagi menampung keperluan dan permintaan daripada majikan di Malaysia.

MOU itu ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali, dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.

KSM berkata Saravanan dalam lawatan yang turut disertai pegawai kanan kementerian dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah bagi mencapai kata sepakat mengenai isu yang terkandung dalam MoU PDI itu
supaya ia dapat dimuktamadkan segera.

KSM berkata Saravanan juga dijadualkan mengadakan perbincangan dengan konglomerat Malaysia di Indonesia bagi bertukar pandangan serta amalan baik berhubung pengurusan pekerja migran di sektor perladangan.

Menurut data KSM sehingga 31 Okt 2021, terdapat seramai 364,564 pekerja warga Indonesia yang berkhidmat di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, serta perlombongan dan perkuarian.

Daripada jumlah itu, seramai 61,473 pekerja atau 16.9 peratus adalah dalam sektor pembantu rumah asing.

Sumber: BERNAMA