SEREMBAN, 10 Nov — Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) disaran merebut peluang kerja terutama menerusi program karnival kerjaya yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa dan meningkatkan kualiti hidup mereka.
Pengarah Perkeso Negeri Sembilan Fuad Alias berkata golongan berkenaan juga tidak perlu malu dan gusar untuk mengisi kekosongan yang ditawarkan syarikat dengan pelbagai bidang mengikut kesesuaian dan kemampuan selain turut diberikan latihan sekiranya diperlukan.
“Karnival pekerjaan yang kita anjur untuk OKU ini sebagai inisiatif Perkeso dalam membantu mereka mendapatkan akses peluang pekerjaan serta meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan tempatan selain majikan juga perlu memberi peluang kepada mereka.
Dalam program hari ini kita tawarkan 450 jawatan termasuk operator dan juruwang dengan tawaran gaji yang lumayan, ada sesetengah OKU tak tahu di mana nak cari kerja, jadi dengan peluang ini kita bantu mereka,” katanya kepada pemberita sempena Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 di sini hari ini.
Beliau berkata karnival sehari yang melibatkan 14 majikan seluruh negeri itu adalah julung kali diadakan di Negeri Sembilan dengan skala yang lebih besar selain turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya dan kaunter pendaftaran portal pekerjaan MYFutureJobs.
Dalam pada itu, Farah Azira Mohd Nor, 31, yang merupakan OKU pendengaran serta menghidap palsi serebrum ringan melahirkan kesyukuran diterima bekerja sebagai juruwang menerusi program itu selepas lima tahun mencari kerja di dalam dan luar negeri.
Lepasan Sijil Kemahiran Khas Politeknik (Rekabentuk Grafik), Politeknik Ibrahim Sultan, Johor itu berkata beliau tidak pernah berputus asa walaupun banyak permohonan kerjanya sebelum ini ditolak berikutan keadaannya itu.
“Saya menyeru golongan istimewa ini untuk datang di mana-mana program yang menawarkan peluang kerja selain pihak majikan juga perlu memberi peluang sama rata kepada semua orang tanpa mengira OKU atau tidak,” katanya menerusi jurubahasa isyarat M Umar.
Muhammad Firdhauz Abdul Rashid, 24, pula menyifatkan karnival kerjaya khusus untuk OKU itu sebagai sinar untuk kembali bangkit menjalani kehidupan seharian seperti orang biasa selain membuktikan kemampuan diri tanpa mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.
Beliau yang berkerusi roda kerana lumpuh daripada paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya empat tahun lepas itu tidak mahu menjadikan keadaan zikalnya sebagai alasan untuk tidak mencari pendapatan sendiri.
“Sebelum ini saya bekerja di sebuah pasar raya mini untuk urusan terima stok barangan, bagaimanapun saya ingin cari kerja dengan tawaran yang lagi baik, terima kasih Perkeso kerana membuka peluang kepada kami memperbaiki kehidupan,” katanya.
sumber: BERNAMA
49 thoughts on “OKU disaran rebut peluang kerja menerusi Karnival Kerjaya Perkeso”
Comments are closed.