KUALA LUMPUR, 25 Okt 2019 — Sebuah firma latihan teknologi maklumat (IT) KCOM Group, berhasrat untuk melatih 10,000 orang untuk menjadi pekerja berkemahiran tinggi dalam tempoh lebih lima tahun melalui program Beyond4.
Ketua Pegawai Eksekutif ST Rubaneswaran berkata, program ini merupakan usaha sama antara kumpulan dan Pusat Inovasi Bersepadu HLX (HLX) dan akan ditawarkan di Akademi HLX mulai Januari tahun depan.
Bercakap dalam satu taklimat media di sini hari ini, beliau memberitahu syarikat berkenaan akan menjadi pemegang kepentingan utama dalam kampus digital HLX bagi menyediakan pembangunan khusus termasuk program-program peningkatan kemahiran, sepadan dengan keperluan industri dan kerajaan.
HLX merupakan bursa inovasi Malaysia yang pertama, yang dimiliki sepenuhnya oleh Guocoland Malaysia Bhd, sebuah syarikat harta tanah Kumpulan Hong Leong.
“Dalam Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam insentif pakej khas bagi menarik pelaburan syarikat-syarikat Fortune 500 ‘Unikorn’ global ke Malaysia,” katanya lagi.
Rubaneswaran menyatakan bahawa dengan adanya teknologi, syarikat boleh beroperasi dari mana-mana lokasi di dunia dan bakat yang berkemahiran menjadi faktor utama untuk menarik syarikat melabur di Malaysia.
Oleh itu, program Beyond4 adalah amat penting bagi memastikan syarikat masih relevan, mampu berkembang dan mencipta bakat di negara ini, tambahnya.
— BERNAMA