KUALA PILAH, 24 Okt 2019 — McDonald’s Malaysia menyasarkan membuka 450 restoran baharu di seluruh negara menjelang 2025 yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata setakat ini mereka mempunyai lebih 290 buah restoran di seluruh negara.
“Pembukaan restoran baharu di Negeri Sembilan ini merupakan sebahagian daripada usaha pengembangan syarikat ini di Malaysia.
“Kami melihat banyak potensi pembukaan restoran McDonald’s di Negeri Sembilan bukan sahaja di Kuala Pilah, Seremban dan Port Dickson, malah di tempat lain seperti Bahau, Tampin dan Rembau,” katanya pada sidang media selepas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun merasmikan pembukaan Restoran McDonald’s Kuala Pilah di sini hari ini.
Ia merupakan restoran McDonald’s yang pertama di Kuala Pilah dan ke-13 di Negeri Sembilan.
Menurut Azmir, pembukaan restoran itu diharap dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui kewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat.
Dengan pembukaan restoran itu, beliau berkata McDonald’s Malaysia menyumbang sebanyak RM637,200 kepada kerajaan Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada Program Komuniti McDonald’s Malaysia peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung sepanjang Oktober hingga Disember ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama erat dengan sektor korporat di negeri ini seiring matlamat Negeri Sembilan untuk mewujudkan keseimbangan sosio ekonomi negeri.
“Kita yakin kesan daripada perkembangan sosio ekonomi itu akan memberi impak kepada peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya.
— BERNAMA