KUALA LUMPUR, 21 Okt: Kerajaan diminta menggunakan dana sendiri, bukannya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membiayai pembinaan pusat rehabilitasi baharu bernilai RM500 juta di Perak yang dikhuatiri menjejaskan kewangan agensi itu.
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Malaysia (KTUC), J Solomon, melahirkan kebimbangan mengenai kelangsungan dan keupayaan Perkeso, termasuk membabitkan pampasan dan pembayaran terhadap pencarumnya.
Ini kerana, menurutnya berpandukan pengalaman lalu, kos pembinaan dijangka meningkat sehingga 30 peratus sepertimana pembinaan pusat rehabilitasi di Melaka, sebelum ini yang meningkat daripada RM200 juta kepada RM275 juta apabila ia siap dibina pada 2014.
Beliau menjelaskan, MTUC tidak membantah cadangan pembinaan pusat namun ada beberapa persoalan perlu dibangkitkan.
“Sebagaimana diumumkan kerajaan, projek di bawah Belanjawan 2020 ini akan dibiayai melalui dana Perkeso yang rata-rata adalah caruman majikan dan pekerja yang kebanyakannya merangkumi berpendapatan rendah,” katanya, memetik kenyataannya, hari ini.
Dana Perkeso, kata Solomon, sekiranya diguna secara tidak berhemah dikhuatiri memjejaskan keupayaan jangka panjang organisasi itu dalam menyediakan faedah hilang upaya sementara dan kekal, pencen ilat serta faedah sampingan lain.
Sehubungan itu, MTUC turut menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya menggunakan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi memperincikan butiran pelaksanaan projek pembinaan rehabilitasi di Perak itu.