CUEPACS Minta 58 Juruteknik Sambilan Di JKR Sabah Dilantik Jawatan Tetap

KOTA KINABALU, 28 Sept 2019 — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta agar 58 Juruteknik sambilan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dapat dilantik secara tetap di jabatan berkenaan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata 58 juruteknik berkenaan yang dilantik pada 2011 sepatutnya telah dilantik semula sebagai Penolong Jurutera JA29 pada 2014 namun ia tidak berlaku di jabatan berkenaan.

“Pada tahun 2014 kerajaan telah bersetuju untuk menukarkan jawatan Juruteknik kepada jawatan Penolong Jurutera JA29 dan dalam kerajaan kita sekarang tiada lagi jawatan Juruteknik.

“Oleh itu sepatutnya 58 juruteknik di JKR Sabah itu tidak boleh diambil sebagai juruteknik sambilan…dan saya tidak tahu macam mana perkara ini boleh berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tritahunan CUEPACS Sabah, di sini hari ini.

Beliau berharap JKR Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

“Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak JKR Sabah dan JPA Sabah untuk membincangkan perkara ini. Saya yakin pelantikan 58 juruteknik itu kepada jawatan tetap Penolong Jurutera juga dapat memenuhi keperluan tenaga kerja jabatan itu.

“Untuk melantik kesemua mereka kepada jawatan tetap tidak menjadi masalah kerana mereka telah mempunyai kelayakan diploma seperti yang disyaratkan untuk dilantik sebagai Ponolong Jurutera JA29, selain mereka turut mempunyai pengamalan dan kemahiran khusus,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *