Boleh Kerja Tapi Tiada Kelulusan, Kaedah Khas Untuk OKU Dapatkan Sijil

SUNGAI PETANI, 23 Sept: Kaedah khusus bagi pensijilan orang kurang upaya (OKU) yang sedang dirangka dan kini, berada dalam peringat akhir dijangka meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor pekerjaan kelak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pensijilan itu akan dilaksanakan menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang akan membolehkan golongan ini membuktikan keupayaan mereka.

Sebenarnya golongan OKU, menurutnya bukan tidak berkemampuan untuk bekerja namun mereka berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pensijilan kerana terpaksa menjalani ujian sama seperti calon normal yang lain.

“Kaedah khas yang mula dirangka sejak Januari lalu dan kini, dalam peringkat akhir, dan selepas ini diharap golongan OKU akan mudah dapat kerja dalam sektor awam atau swasta,” katanya, memetik kenyataannya, selepas merasmikan Karnival Kerjaya Kemahiran Keusahawanan (4K) dan Kompetensi Insan Istimewa (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok, di sini, semalam.

Bagi melaksanakan kaedah PPT itu, kata Mahfuz, dua Industry Lead Body (ILB), iaitu Malaysian Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Beliau berkata, ia akan dimulakan dengan bidang automotif dahulu, di mana ujian pensijilan pertama bagi kaedah khas berkenaan dijangka diadakan pada Oktober depan, membabitkan 11 calon daripada seluruh negara.

Sementara itu, Mahfuz menyifatkan Karnival 4K itu yang bertujuan mendedahkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) kepada bidang kerjaya apabila tamat belajar, boleh menjadi penanda aras untuk membantu golongan ini mendapat peluang pekerjaan dan pendedahan mengenai kerjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *