Belanjawan 2020: Cuepacs Harap Bonus Tidak Kurang Sebulan Gaji Jadi Kejutan Istimewa

GEORGE TOWN, 23 Sept: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap ada kejutan istimewa menanti penjawat awam pada pembentangan Belanjawan 2020 kelak dengan pengumuman bonus sekurang-kurangnya sebulan gaji.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan perlu diadakan, dalam apa jua keadaan sekalipun, sebagai mengiktiraf sumbangan golongan ini termasuk dalam menjaga kestabilan negara.

Beliau berkata, pengumuman itu juga bertepatan dengan menjelangnya tahun 2020 yang disifatkan sebagai unik dan istimewa apabila ia dipilih Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat, untuk meletakkan negara sebagai negara maju.

Apatah lagi, menurutnya penjawat awam telah setia berkhidmat dan tanpa sebarang prejudis, sebagaimana agensi dan kementerian, masih pekerja yang sama walaupun kerajaan sekarang ini sudah bertukar pentadbiran.

“Tentang bonus ini, saya yakin dengan kebijaksanaan yang berhormat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) supaya bonus ini mesti ada dan dalam keadaan apa sekali pun.

“Kita mesti mengiktiraf sumbangan penjawat awam dalam usaha mereka memastikan negara terus stabil, aman dan makmur,“ katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ceupacs Pulau Pinang di sini, semalam.

Belanjawan 2020 dijadual dibentangkan Guan Eng pada 11 Oktober depan.

Azih juga melahirkan harapan supaya penjawat awam terus berada dalam zon selamat dan kerajaan, menerusi Belanjawan 2020 kelak, meneliti gaji dan Sistem Saraan Malaysia yang tidak disemak selama 17 tahun lalu, selari dengan rancangan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

“Walaupun Perdana Menteri telah menganjakkan masa untuk meletakkan Malaysia sebagai negara maju, daripada 2020 ke 2025, harapan kami supaya gaji permualan tahun 2020 itu mesti berada di atas garis kemiskinan,“ katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *