PTPTN Bantu Peminjam Menganggur Dan Tamat Pengajian Dapatkan Pekerjaan, Tingkat Prestasi Bayaran Balik

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jalin kerjasama dengan tiga agensi bagi membolehkan peminjamnya mendapatkan pekerjaan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata tiga agensi berkenaan ialah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Agensi Pekerjaan JobStreet.com.

Kerjasama itu, menurutnya diharap dapat menyelesaikan masalah peminjam untuk mendapatkan pekerjaan, termasuk peminjam seawal 1997 yang menganggur atau mahu mendapatkan pekerjaan lebih baik, sekaligus meningatkan prestasi bayaran balik pinjaman yang dapat dimanfaatkan kepada sejuta bakal peminjam.

“Usaha ini adalah di luar bidang kuasa dan fungsi PTPTN, namun pendekatan ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

“Ia juga diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan lebih baik,” katanya, memetik kenyataannya selepas majlis pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara PTPTN dan agensi terbabit, di sini, semalam. Majlis turut disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

NCCIM dianggotai 650,000 majikan, manakala JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar, dalam dan luar negara. Sebuah microsite JobStreet.com turut diwujudkan sebagai perkhidmatan tambahan secara percuma untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *