KUALA LUMPUR, 20 Jan — Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyeru, agar Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk memainkan peranan lebih aktif dalam merangka penambahbaikan skim pencen bagi menjaga kebajikan para veteran.
Presidennya Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata gesaan berkenaan adalah susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Jan lepas, yang memutuskan kenaikan pencen dua peratus setahun adalah tidak mengikut Perlembagaan dan terbatal.
Beliau berkata ATM mempunyai Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982, MAT dibolehkan untuk mengesyorkan cadangan penambahbaikan bagi pencen ATM, dan tidak bergantung kepada saranan Jabatan Perkhidmatan Awam semata-mata.
“Kenaikan sebanyak dua peratus setahun untuk semua adalah tidak menepati prinsip keadilan, kerana mereka yang menerima pencen yang rendah akan mendapat kenaikan yang sedikit berbanding individu yang menerima pencen yang besar, sedangkan kenaikan kos sara hidup dihadapi oleh semua orang,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pahlawan di sini hari ini.
Sharuddin berkata mengikut data PVATM terdapat sebanyak 130,495 veteran termasuk balu yang menerima pencen, di mana 90 peratus daripada adalah anggota bawahan lain-lain pangkat yang menerima pencen yang rendah.
Dalam pada itu Sharuddin berkata bersempena dengan ulang tahun ke 100 penubuhan persatuan itu pada Mac tahun ini, pihaknya telah menggariskan lima teras perjuangan bagi menghargai perjuangan dan pengorbanan warga veteran ATM.
Menurutnya, lima teras berkenaan merupakan pelarasan pencen veteran ATM, elaun sara hidup kepada veteran yang tidak berpencen, tribunal pengampunan untuk bekas tentera, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia dan menambah baik pencen terbitan kepada balu.
Sementara itu, Sharudin berkata pihaknya memohon agar waris dan orang ramai untuk berkongsi maklumat berkaitan pusara anggota tentera yang terkorban dalam pertempuran, bagi tujuan pemuliharaan.
“Setakat ini, PVATM telah memelihara sebanyak 18 pusara pahlawan, dianggarkan terdapat lebih 2,000 anggota tentera telah terkorban dalam pertempuran mempertahankan negara, ini bertujuan agar komuniti setempat mengetahui bahawa terdapat pahlawan negara dakam kalangan mereka,” katanya.
Sumber: BERNAMA