KUALA LUMPUR, 12 Jan — Lebih 128,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berumur bawah 60 tahun berpeluang menyertai kerjaya ekonomi gig Code 7 yang menawarkan perkhidmatan berasaskan keselamatan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Beliau berkata pihaknya meletakkan sasaran hingga 10,000 veteran untuk menyertai kerjaya gig terbabit bagi fasa pertama pengenalannya yang bermula di Lembah Klang tahun ini.
“Ini merupakan inisiatif pelaksanaan bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran serta syarikat Code 7 Tech Sdn Bhd yang antara lain membuka lembaran baharu kepada veteran bagi mendapatkan peluang kerjaya kedua yang lebih luas dalam menempuhi pasca-COVID-19.
“Code 7 ini menyediakan perkhidmatan keselamatan daripada syarikat keselamatan berlesen yang terdekat kepada pelanggan-pelanggan yang berdaftar untuk menjaga keselamatan premis mereka tidak kira sama ada mereka berada di dalam atau di luar premis tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media majlis pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig Untuk Veteran di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Beliau berkata penyertaan veteran dalam kerjaya gig Code 7 ini dalam masa sama amat signi?kan dengan kepakaran dan kemahiran dimiliki oleh mereka.
“Menerusi Code 7, kesemua veteran yang turut serta akan ditawarkan tangga gaji menarik selain menikmati kelebihan ?eksibiliti masa dan lokasi apabila menyertai kerjaya ekonomi gig itu.
“Misalnya mereka akan bertindak selaku ‘responder’ di satu-satu kawasan yang berlakunya permasalahan membabitkan jenayah atau sebagainya yang sebelum ini dipikul oleh Jabatan Sukarelawan dan lain-lain,” katanya.
Majlis pelancaran ekonomi gig itu turut dihadiri Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Sumber: BERNAMA