KUALA LUMPUR, 4 Dis — Lepasan Institut Kraf Negara (IKN) mempunyai kebolehpasaran tinggi dengan 81 peratus atau 2,272 daripada 2,810 graduan yang dilahirkan berjaya menempatkan diri dalam pelbagai industri kraf sejak penubuhan institusi itu pada 2001
sehingga kini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut merangkumi 1,119 orang terlibat secara langsung dalam industri kraf, 978 dalam sektor awam dan swasta manakala 175 lagi graduan melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah serta sarjana sama ada di IKN atau Institusi Pengajian Tinggi Awam.
“Ini jelas membuktikan graduan IKN mempunyai masa depan yang cerah dan mempunyai peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Konvokesyen IKN kali ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Teks ucapan Nancy dibacakan Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan, Rubiah Wang.
Konvokesyen hari ini meraikan seramai 165 graduan yang menamatkan Pengajian Seni Kraf di peringkat diploma, sijil, Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.
Nancy berkata IKN dengan hala tuju sebagai “Peneraju Kecemerlangan Pengajian Kraf Berinovasi dan Berkemahiran Tinggi” sentiasa mengorak langkah memajukan bidang kemahiran seni kraf selain melahirkan pelapis baharu yang berbakat, berkemahiran tinggi
serta mempunyai kepakaran bagi memenuhi keperluan industri.
Selain itu, Nancy berkata graduan IKN perlu berbangga dengan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia kepada program pengajian institut itu.
“Ini menjadi penanda aras kualiti program pengajian di IKN setaraf dengan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia, malah IKN mempunyai keunikan tersendiri dalam membentuk pelajar menghargai warisan melalui luahan imaginasi dalam melahirkan idea
kreatif menerusi produk yang dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, Rubiah dalam sidang media berkata persepsi industri kraf sekarang telah berubah, ia bukan soal memartabatkan warisan sahaja tetapi boleh menjana pendapatan dan memperkasakan sosioekonomi masyarakat di luar bandar.
“Kita menyediakan kepakaran daripada segi teknikal dan pendidikan untuk memastikan produk kraf di luar bandar dapat dikomersialkan dan dikembangkan sekali gus melahirkan usahawan kraf yang berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Rubiah berkata sebelum pandemik COVID-19 industri kraf menyumbangkan kepada pendapatan negara sebanyak RM500 juta setahun dan tahun ini pihaknya menyasarkan kira-kira RM300 juta dengan pemasaran dilakukan secara dalam talian.
Sumber: BERNAMA
49 thoughts on “Lepasan Institut Kraf Negara punyai kebolehpasaran tinggi”
Comments are closed.