Semangat terpendam susulan sekatan pergerakan akan pacu pertumbuhan pekerjaan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Semangat terpendam susulan sekatan pergerakan akan memacu pertumbuhan pekerjaan di Malaysia, menurut Randstad Malaysia.

Ia menjelaskan, selepas berada di rumah selama lebih enam bulan pada 2021, ramai yang bersemangat untuk keluar dari kediaman dan melakukan penyesuaian gaya hidup apabila perintah sekatan pergerakan ditarik balik sepenuhnya dan aktiviti kembali normal.

Ketua Operasi, Fahad Naeem berkata kalangan pekerja juga mungkin mempunyai motivasi untuk mencari pekerjaan baharu, terutama jika mereka telah merancang untuk berbuat demikian sebelum sekatan pergerakan dilaksanakan, dan ingin memanfaatkan peluang
pekerjaan baharu sebaik sahaja perniagaan memulihkan operasi sepenuhnya.

“Sesetengah pekerja mungkin terpaksa bertukar kerja akibat pengalaman kerja yang buruk dialami mereka ketika tempoh sekatan, seperti bekerja dengan pengurus yang teruk atau tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk bekerja dari rumah,” katanya
dalam kenyataan pada Isnin.

Randstad Malaysia menerbitkan ‘2022 Market Outlook and Salary Snapshot Report’ yang melihat secara terperinci iklim ekonomi dan landskap pengambilan pekerja tahun depan.

Laporan itu juga menekankan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran di mana bilangan yang mencari pekerjaan adalah kecil berbanding pekerjaan yang tersedia.

Menurutnya, walaupun ini mungkin berita positif untuk organisasi yang meningkatkan bilangan pekerja tahun depan, organisasi juga mesti bersedia untuk menghadapi tahap pengurangan seperti sebelum COVID.

Walaupun ramai calon pekerja berada di pasaran, namun penting untuk majikan memahami cara mewujudkan jalinan dan menarik bakat terbaik.

Naeem berkata walaupun dijangkakan lebih ramai memasuki semula pasaran pencarian pekerjaan, syarikat-syarikat tidak seharusnya menganggap mereka sebagai kumpulan calon yang lebih besar untuk dimanfaatkan.

“Industri seperti teknologi, pembuatan, serta perkhidmatan perbankan dan kewangan menghadapi cabaran pengambilan pekerja disebabkan ketakpadanan antara aspirasi pertumbuhan digital syarikat dengan kekurangan bakat yang layak untuk merealisasikan matlamat perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata memandangkan dasar pengambilan pekerja asing diketatkan lagi, banyak majikan sedang mencari untuk menggajikan bakat mahir dan cekap digital tempatan untuk menyokong projek transformasi digital mereka, terutama bakat dalam keselamatan siber, ‘blockchain’, perbankan digital dan Internet Pelbagai Benda yang mendapat permintaan tinggi.

Banyak syarikat turut mengharapkan calon dalam fungsi lain seperti sumber manusia, jualan dan pemasaran, serta perakaunan dan kewangan untuk membiasakan diri dengan bekerja dengan platform dan proses digital.

“Calon juga mempunyai jangkaan yang tinggi dari segi keupayaan mereka untuk berfikir secara kreatif dan menerima guna teknologi untuk menambah baik operasi dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Sumber: BERNAMA