PUTRAJAYA, 27 Nov 2019 — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atas misi ke International Market of Communications Programmes (MIPCOM) 2019, Perancis pada bulan lepas, yang menjana nilai eksport dan pelaburan berjumlah RM20.72 juta.
Beliau dalam kenyataan berkata penyertaan Malaysia pada tahun ini juga berjaya menarik minat beberapa syarikat produksi antarabangsa, yang berpotensi menjana urus niaga bernilai RM138.68 juta.
MIPCOM adalah satu acara tahunan peringkat antarabangsa yang mempamerkan kandungan kreatif melibatkan 14,000 peserta dari lebih 100 buah negara di Cannes, Perancis yang meliputi urusan jual beli, pengedaran, kerjasama produksi serta mempromosikan negara sebagai destinasi penggambaran.
“Ia membuka peluang kepada pertumbuhan dan pembangunan pemain-pemain industri kreatif global termasuk para penerbit, penyiar serta pembeli filem dan program televisyen,” katanya.
Gobind berkata hasil usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kandungan kreatif dan lokasi penggambaran dunia dapat dilihat melalui promosi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI).
“Insentif 30 peratus rebat tunai itu telah menarik minat lapan buah produksi luar negara yang berpotensi menjana pelaburan asing sebanyak RM90.3 juta,” katanya.
Dengan usaha-usaha itu, katanya kerajaan melalui KKMM membantu syarikat tempatan menembusi pasaran kandungan kreatif antarabangsa dan menyumbang kepada pembangunan industri kreatif dan pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri itu berkata antara negara-negara yang mempunyai jalinan kerjasama dengan Malaysia termasuk Singapura, Perancis, United Kingdom, Korea, India dan Amerika Syarikat.
Menurutnya, industri kandungan hiburan dan media global termasuk animasi dan e-games, dianggarkan bernilai USD2.4 trilion (RM9.6 trilion; USD1 = RM4) pada 2022 mengikut laporan Global Entertainment and Media Outlook 2018-2022 oleh PwC, dan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk meraih manfaat ekonomi daripada industri tersebut.
“Ia akan banyak memberi manfaat kepada penggiat industri kreatif tempatan di segi pendedahan dan pengalaman bagi meningkatkan kualiti kandungan dan aspek produksi industri ini.
“Ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang akan menjadi inspirasi dan memberi galakan kepada generasi baharu yang berminat menceburi bidang kreatif ini,” katanya.
— BERNAMA