PETALING JAYA, 30 Okt: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan yang dicadang kerajaan baru ini, akan lebih memanfaatkan pekerja asing.
Presidennya, Tan Sri Azman Shah Haron, berkata kenaikan RM100 dalam tempoh 12 bulan bagi membantu rakyat tempatan berdepan kos sara hidup tinggi, sebaliknya akan memburukkan keadaan kerana memberi kesan pengganda yang terhad kepada ekonomi apabila lebih 95 peratus pekerja asing yang menerima faedahnya.
Ini kerana, menurutnya pekerja asing menghantar peratusan yang tinggi atas kenaikan upah kepada negara asal mereka.
Sehubungan itu, kata Azman Shah, beberapa cadangan telah dikemukakan MEF kepada kerajaan, termasuk pemberian subsidi 50 peratus kenaikan gaji minimum dan memperuntukan RM250 kepada pekerja tempatan, sepertimana Bantuan Sara Hidup (BSH).
Beliau berkata, subsidi seumpama itu bukan sahaja dilihat dapat membantu pekerja tempatan menampung kenaikan sara hidup, malah menjamin wang itu tidak mengalir ke luar negara hingga turunnya lagi nilai mata wang Malaysia.
“Kami ingin mencadangkan agar definisi gaji minimum dipinda kepada gaji kasar agar menggalakkan pertumbuhan produktiviti. Ketika ini, gaji didefinisi sebagai gaji pokok sahaja,” katanya, memetik kenyataannya pada sidang media di sini, baru ini.
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 di bandar-bandar besar diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Bajet 2020, 11 Oktober lalu, yang berkuatkuasa tahun depan, di samping cadangan menyemak semula Akta Pekerjaan 1955 supaya relevan dengan keperluan semasa pasaran buruh.