PUTRAJAYA, 30 Okt 2019 — Kesatuan Pelajar akan dihidupkan kembali di universiti awam (UA) pada tahun hadapan bagi menjadi medan golongan siswa melatih diri dan meraih pelbagai kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau berkata Kesatuan Pelajar akan mengelola perniagaan mereka sendiri di dalam universiti, sekaligus menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar yang memerlukan.
“Terus-terang saya katakan, saya sedikit kesal apabila dalam banyak sesi dialog saya dan pelajar, yang berulang kali diminta kepada saya ialah bantuan berupa wang.
“Saya memahami gelutan yang dihadapi dan kita di kerajaan sedang melihat isu ini secara serius. Sebab itulah kita tubuhkan kembali Kesatuan Pelajar,” katanya semasa berucap pada mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2019, di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Maszlee juga yakin kembalinya Kesatuan Pelajar di UA akan membawa industri lebih dekat dengan universiti.
Pada mesyuarat itu, Maszlee turut menyeru mahasiswa memanfaatkan MPPK itu sebaiknya dan mewacanakannya secara kritikal dan serius.
“Atmosfera pendidikan tinggi harus kembali bercorakkan dengan keeratan hubungannya dengan masyarakat di mana suara mahasiswa adalah suara masyarakat yang mengutarakan soal kemiskinan bandar, luar bandar, kos sara hidup yang tinggi, nelayan, pekebun kecil dan ekonomi,” katanya.
MPPK adalah medium pemimpin mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) daripada universiti awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia menyuarakan idea dan pandangan mahasiswa kepada kepemimpinan tertinggi kerajaan.
MPPK kali ini membincangkan lima kertas pertimbangan iaitu Stigma Terhadap Kesihatan Mental; Kebolehpasaran Graduan Dalam Era Revolusi Industri 4.0; Transformasi Tanah Pertanian Dalam Sektor Agromakanan; Melestarikan Persekitaran; dan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Malaysia: Memartabatkan Kualiti Pendidikan Negara.
Pada MPPK itu, Maszlee turut memaklumkan kementeriannya melalui Jabatan Pengajian Tinggi akan mengerakkan usaha untuk jalinan kolaborasi antara ‘Top 50’ universiti terkemuka dunia untuk menjadi rakan strategik UA tempatan.
— BERNAMA
49 thoughts on “Kesatuan Pelajar Medan Mahasiswa Raih Pelbagai Kemahiran – Maszlee”