KUALA LUMPUR, 23 Okt 2019 — Kerjasama erat membabitkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan subsidiari Sedania Innovator Bhd iaitu Sedania As Salam Capital Sdn Bhd akan mengukuhkan lagi teknologi kewangan (fintech) patuh syariah dalam model kewangan Koperasi Kredit Kebangsaan.
Menurut Pengerusi Sedania Innovator Tan Sri Abdul Halim Ali, landskap kewangan hari ini telah bertukar kepada sistem yang meletakkan keutamaan kepada kepantasan transaksi, aplikasi yang lebih lancar dan jaminan keselamatan.
“Ini membuka peluang kepada pertumbuhan industri fintech Islam di Malaysia,” katanya, sambil menambah, kerjasama Sedania As Salam Capital dengan Angkasa merupakan pencapaian yang amat signifikan memandangkan anggota-anggota koperasi (ko-op) akan berpeluang mendapat limpahan manfaat dengan akses kredit yang lebih mudah.
Abdul Halim menegaskan bahawa kredit merupakan hayat kepada ekonomi dan dengan penyelesaian fintech, pengagihan akan menjadi lebih pantas, mudah serta memenuhi permintaan anggota-anggota ko-op yang mahukan pembiayaan yang patuh syariah.
“Kerjasama dengan Angkasa dan penggunaannya oleh anggota ko-op, adalah bukti bagaimana teknologi kewangan Islam mampu meningkatkan kewangan sosial Islam dalam memenuhi keperluan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak penubuhannya, platform AS-Sidq oleh Sedania As Salam Capital telah memproses lebih daripada RM37 bilion nilai pembiayaan menggunakan kredit masa berbual sebagai komoditi dagangannya.
Sehingga ke hari ini, perkongsian Sedania As Salam Capital dengan Angkasa telah menyelesaikan sejumlah RM386 juta dalam bentuk pembayaran pembiayaan berlandaskan syariah melalui platform Tawarruq Angkasa.
Perkongsian antara kedua-dua pihak ini juga telah membolehkan 54 rakan kongsi kredit ko-op untuk mendapatkan sijil patuh syariah melalui penggunaan platform AS-Sidq.
Sementara itu, Pengerusi Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah menggesa gerakan ko-op untuk menyahut cabaran pendigitalan bagi menghadapi era pendigitalan ekonomi .
Katanya, ko-op juga perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi menangani respons pelanggan atau anggota yang menerima kesan akibat persekitaran ekonomi yang berubah ke arah pendigitalan.
“Sebagai peneraju industri dalam platform dagangan komoditi Tawarruq untuk kewangan peribadi Islam, Sedania As Salam Capital akan menyediakan urus niaga komoiditi digital automatik kepada anggota-anggota ko-op,” katanya.
— BERNAMA
49 thoughts on “Sedania, Angkasa Kukuhkan Penglibatan Koperasi Dalam Teknologi Kewangan”