KUALA LUMPUR, 19 Okt: Kementerian Sumber Manusia dikatakan tidak mengikut proses yang betul dalam melakukan pindaan berhubung cuti bersalin selama 90 hari yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, baru ini.
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata kementerian terbabit seharusnya mendapatkan persetujuan triparti Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) selain MTUC terlebih dahulu.
MTUC sebelum ini, menurutnya mengusulkan penambahan cuti bersalin kepada 98 hari.
“Jika pindaan ini dilakukan secara teliti, sudah tentu kami akan mencadangkan pembaharuan yang lebih komprehensif dan juga holistik untuk kebaikan pekerja,” katanya, memetik temubual disiarkan Astro Awani, baru ini.
Solomon berkata, berdasarkan prinsip perundingan tripati, tindakan kementerian berkenaan merujuk kepada Parlimen bagi mendapatkan kelulusan juga dianggap sebagai “satu perbuatan yang kurang sihat” memandangkan “kerajaan perlu mendapatkan kata putus daripada tiga pihak dahulu” sebelum melaksanakannya.
Susulan bantahan segelintir pihak terhadap pindaan itu, beliau berharap ia dapat disemak dan dibentangkan semula kepada sidang Parlimen secara holistik kerana apabila adanya konsensus kelak akan membuatkan semua menghormati satu sama lain dan pindaan pasti dituruti sahaja kerana semua telah diberikan mandat.