TVET Boleh Bantu Belia Menganggur Asah Kemahiran, Dapatkan Kerja – Kulasegaran

IPOH, 2 Sept: Golongan muda, termasuk graduan yang masih menganggur digesa menyertai program latihan kemahiran di pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk meraih tempat dalam pasaran pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata negara mencatatkan pengangguran pada kadar 3.3 peratus, jadi adalah penting untuk kerajaan meneliti masalah graduan dan belia tidak bekerja ini yang membimbangkan.

“Saya sentiasa menekankan kepada generasi muda yang menganggur supaya mengambil peluang untuk mengasah kemahiran dengan mendapatkan latihan vokasional di pelbagai pusat TVET.
“Jadi, dengan kemahiran yang ada, banyak lagi peluang pekerjaan menanti mereka,” katanya, memetik kenyataannya kepada media selepas menghadiri acara menanam pokok di Taman D.R Senivasagam di sini, hari ini.

Bercakap lanjut mengenai TVET, Kulasegaran turut berkongsi mengenai penyertaan memberangsangkan belia Orang Asli apabila baru-baru ini, tujuh pelajarnya yang pulang ke kampung telah membawa tiga lagi rakan mereka untuk belajar di pusat itu.

“Biasanya, apabila pelajar (belia Orang Asli) pulang bercuti, peluang untuk melihat mereka kembali adalah tipis, tapi apabila mereka bukan sahaja kembali malah membawa pula tiga lagi rakan, adalah satu permulaan baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *