HULU KELANG, 27 Ogos: Seluruh karyawan seni tanahair akan beroleh manfaat sebagaimana pekerja swasta lain, daripada segi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula Januari 2020.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac, merangkumi penggiat seni, daripada pelakon ke jurusolek hingga krew produksi, hasil perbincangan dengan agensi berkenaan sejak lima bulan lalu.
Beliau berkata, manfaat yang akan diperolehi bergantung pada gaji dan polisi insurans karyawan berkenaan.
“Pihak kami telah lima bulan berbincang hal ini dengan semua agensi yang terlibat kerana ia sememangnya boleh dilaksanakan melalui Akta Finas (Akta 244).
“Caruman akan dibuat oleh majikan iaitu penerbit kepada semua yang terlibat walaupun mereka bekerja dalam tempoh yang singkat,” katanya, memetik kenyataannya selepas sesi Dialog Dua Hala Bersama Penggiat Industri Filem di Finas, di sini, semalam.
Hans berkata, pelaksanaan itu antara lain menyaksikan persetujuan dalam mekanisme pembayaran, di mana majikan diwajibkan membuat potongan bayaran kepada pekerja yang mendapat gaji minimum RM1,100 sebulan.
“Kalau seseorang itu bekerja dalam dua projek untuk sebuah produksi dalam masa yang sama, mereka harus dibayar untuk kedua-dua projek itu,” katanya, termasuk mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang gagal menjelaskan caruman pekerjanya, seperti menarik balik Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) milik mereka.
Sumber foto: facebook.com/malaysiafinas
49 thoughts on “Anak Seni Raih Manfaat KWSP, Perkeso Mulai Januari 2020”