KUALA LUMPUR, 10 Julai: Seramai 1.4 juta suri rumah akan memperolehi perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) apabila pembaharuan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dilaksanakan, kelak.
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata usaha itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan akta berkenaan, di mana jangkauan perlindungan bagi caruman PERKESO dapat diperluaskan dan secara lebih menyeluruh.
Buat masa ini, katanya undang-undang berkaitan masih di peringkat penyediaan sambil mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak berkepentingan.
“Kita sudah mula berbincang dengan pihak berkepentingan. Kita akan dapatkan pandangan, bukan saja bagi meluaskan caruman PERKESO ini untuk semua pekerja, tetapi juga ada hala tuju baharu.
“Satu daripadanya ialah kita bercadang supaya setiap suri rumah mendapat perlindungan (PERKESO). Ini dalam proses menyediakan undang-undang tertentu untuk memberi manfaat kepada mereka,” katanya, menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bertanya apakah kementerian berhasrat meluaskan perlindungan PERKESO kepada pencarum yang meninggal dunia di luar waktu bekerja.
Sehingga Mac lalu, kata Kulasegaran, seramai 7.8 juta pekerja mencarum dengan PERKESO yang memberi perlindungan, antaranya manfaat kematian di luar masa kerja.
“Skim keilatan PERKESO menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja, daripada keilatan atau kematian akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaannya.
“Bagi kes kemalangan di luar masa kerja, termasuk kes kematian, orang berinsurans layak mendapat faedah seperti pencen ilat, bantuan ilat, elauan layanan sentiasa, pencen penakat termasuk faedah pengurusan mayat bagi kes membabitkan kematian, tertakluk kepada syarat kelayakan tertentu,” tambahnya.