ISKANDAR PUTERI, 1 Julai 2019 — Kerajaan Johor menerusi Jabatan Belia dan Sukan negeri merancang mengadakan jelajah ke seluruh negeri ini untuk mendekati para belia yang tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan belia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata jelajah mulai Ogos hingga September ini yang diketuai beliau itu akan turut disertai beberapa Exco lain, wakil Kementerian Belia dan Sukan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Dianggarkan terdapat kira-kira 70 hingga 80 peratus belia di negeri ini aktif dalam pelbagai aktiviti persatuan, namun, mereka ini tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
“Jadi, kita mengambil inisiatif melakukan jelajah ini untuk mengenal pasti golongan ini seterusnya mendapatkan pelbagai input daripada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.
Sheikh Umar berkata pihaknya amat prihatin terhadap golongan belia yang tidak berdaftar itu kerana segala tindakan mereka memberi imej kepada para belia di negeri ini.
“Kita mahu ada sentuhan dengan golongan belia ini. Mereka ini entiti yang tidak dibawa ke tengah atau terpinggir. Jadi kita akan buat town hall untuk mereka menerusi jelajah ini,” katanya.
— BERNAMA
49 thoughts on “Kerajaan Johor Adakan Jelajah Dekati Belia Ogos Ini”