Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun

DPLB 2030: Masyarakat Sendiri Pacu Pertumbuhan Ekonomi Luar Bandar

PUTRAJAYA, 3 Julai 2019 — Pelaksanaan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan Khamis lepas perlu dipacu sendiri oleh masyarakat di kawasan luar bandar terutama dalam hal yang melibatkan pertumbuhan ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementerian itu hanya bertindak sebagai pembantu dan pembimbing awal tetapi masyarakat luar bandar perlu menggerakkan pelaksanaannya supaya ia menjadi mampan.

Katanya dalam tempoh 10 tahun ini, beliau mahu persepsi bahawa mereka yang tinggal di luar bandar berada dalam kepompong kemiskinan dapat dihapuskan, tetapi cabaran utama buat kementerian pada masa ini ialah dari sudut minda masyarakat luar bandar untuk menerima sebarang perubahan lebih baik bagi kelangsungan kehidupan mereka.

“Mungkin ada perubahan dibuat bila kami bangunkan dari segi pertanian dan penternakan misalnya, jadi mereka ini perlu bersedia dengan perubahan-perubahan yang akan dihadapi dalam melaksanakan pembangunan luar bandar,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau berkata DPLB akan menjadi teras kepada hala tuju pembangunan kawasan luar bandar dalam tempoh 10 tahun akan datang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira aspirasi rakyat.

DPLB 2030, dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lepas, menyediakan kerangka hala tuju secara umum dan strategi pembangunan secara menyeluruh selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 seperti yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menerusi 10 pernyataan dasar umum, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan sehingga 2030, DPLB merupakan tindakan kerajaan untuk menghadapi cabaran yang akan berlaku di kawasan luar bandar bagi mencapai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’.

Wawasan berkenaan diperhalusi dalam 10 teras pembangunan luar bandar iaitu ekonomi berdaya saing dan mampan, keusahawanan, modal insan berkualiti, prasarana lengkap dan canggih serta keunggulan generasi luar bandar,

Teras lain ialah wanita luar bandar yang progresif, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus yang berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mampan serta perumahan dan pembangunan wilayah.

Rina berkata DPLB dibangunkan berdasarkan tiga prinsip utama iaitu kemampanan, inklusif dan holistik, menyasarkan pembangunan mampan yang akan memastikan pembangunan berimbang mencakupi aspek sosial, ekonomi dan semula jadi.

“Konsep Luar Bandar Sejahtera ini maksudnya ia kondusif didiami, mempunyai peluang pekerjaan, ada pertumbuhan ekonomi dan ia jadi satu tempat yang akan menjadi kebanggaan masyarakat,” katanya.

Rina berkata dengan jurang pendapatan yang melebar antara luar bandar dan bandar, iaitu 1:1.8 ketika ini, kerajaan tidak dapat menghalang migrasi penduduk khususnya belia dari luar bandar ke bandar kerana sudah tentunya mereka mahukan pekerjaan, pendapatan dan infrastruktur yang lebih baik.

“Jadi kami perlu sediakan kemudahan ini supaya walaupun mereka ini tinggal di luar bandar namun mereka boleh dapat peluang pekerjaan melalui keusahawanan, program kemahiran, bengkel kepada belia serta penyediaan perumahan mampu milik.

“Kami mahu merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar, negeri dan wilayah sebab itu kita perlukan ‘Kemakmuran Bersama’. Segala dasar kami telah gubal ini mengambil kira semua pihak tanpa mengira jantina, kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Mendepani Revolusi Industri 4.0, Rina berkata DPLB turut tidak ketinggalan menyediakan kerangka dan strategi kepada penduduk luar bandar untuk bersiap sedia menghadapi perubahan teknologi, antara lain melalui program-program di institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, industry boot camp, dan penyediaan silibus bersesuaian.

“Kami sasarkan bahawa 85 peratus daripada graduan-graduan kita dalam tempoh enam bulan itu boleh dapat pekerjaan sama ada jadi usahawan atau sambung belajar,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, Rina berkata dengan keluasan tanah yang sangat luas di kedua-dua negeri tersebut, ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai model pertanian estet, selari dengan saranan perdana menteri yang bermatlamat untuk tingkatkan hasil pertanian.

Rina turut berpendapat bahawa dua negeri tersebut berpotensi besar dibangunkan dengan pelancongan luar bandar disebabkan oleh faktor kekayaan khazanah alam semula jadi yang terdapat di situ yang tidak terdapat di negeri-negeri lain.

Sementara itu beliau berkata kementerian tahun ini menyasar untuk mengadakan lebih banyak program di empat daripada 28 daerah termiskin di negara ini iaitu Yan dan Baling di Kedah, Tumpat di Kelantan serta Kota Marudu di Sabah bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Setiap daerah ini mempunyai potensi berbeza sebab itu profil kampung itu amat penting, penggunaan dron untuk profil kampung,pemetaan kampung dan sebagainya. Ini digunakan supaya ia lebih cepat dan pantas dan bila kami dapat data ia mudahkan kami kenal pasti potensi sesebuah kawasan tersebut,” katanya.

 

Oleh Hasnah Jusid
BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories