KOWAMAS Bakal Lancar Projek Linear City Tahun Depan

KOTA BHARU, 29 Jun 2019 — Koperasi Wawasan Malaysia (KOWAMAS) akan melancarkan projek Linear City tahun depan, kata Pengerusinya Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Beliau berkata Linear City merupakan projek pembangunan di tapak seluas 44.4 hektar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.

“Kita sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Kelantan dan Persekutuan berhubung projek Linear City yang akan mempunyai kemudahan seperti universiti, hospital, sekolah, hotel, masjid dan perumahan termasuk 1,000 rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Bagi projek perumahan di Linear City, pihak kami kini dalam proses untuk menyelesaikan pengambilan tanah dan menunggu kelulusan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB),” katanya kepada Bernama semasa Majlis Sambutan Hari Raya KOWAMAS di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang menyediakan 1,700 unit perumahan termasuk apartmen dan rumah PPRT bagi golongan B40.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KOWAMAS masih menjadi sebuah koperasi nasional kelapan terbesar di Malaysia dengan mempunyai 50,000 anggota dengan nilai aset melebihi RM1 bilion.

“KOWAMAS mempunyai banyak perniagaan antaranya pinjaman peribadi, kewangan, perumahan dan Ar-Rahnu di bawah francais dengan Bank Rakyat Exchange.

“Pada masa yang sama, aktiviti perniagaan lain termasuklah Pusat Servis, Jualan dan Alat Ganti Honda di Kota Kemuning, Selangor,” katanya sambil menambah KOWAMAS turut mempunyai agensi pelancongan sendiri yang dikenali sebagai KOWAMAS Holiday.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak 2008, KOWAMAS telah mengeluarkan lebih RM2 bilion dalam bentuk pinjaman menerusi pemotongan gaji kakitangan awam.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories