Gambar hiasan Sumber: NSTP/Syarafiq Abd Samad

PPIPBM Saran Institusi Kerajaan Adakan Kerjasama Dengan PKS

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2019 — Persatuan Pengilang & Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM) menggesa institusi kerajaan mengadakan kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan dalam menghasilkan tenaga kerja yang efektif dan bernilai tinggi.

Presiden Datuk Nurammar Abu Bakar berkata selain itu PKS yang berkaitan perlu diberi peluang untuk hadir ke pusat-pusat pembangunan kemahiran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bagi memastikan kursus-kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.

“Kami komited membantu kerajaan dalam membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat iaitu menekankan kepada ekonomi masa depan.

“Malah, kami menyokong usaha kerajaan menerusi Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) yang akan dilancarkan oleh perdana menteri pada Julai ini terutama dalam membantu menggalakkan pembangunan keusahawanan,” katanya pada sidang media mengenai ‘Usahawan Bumiputera dan Malaysia Baharu’, bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke 26 PPIPBM, di sini hari ini.

PPIPBM turut menyokong peraturan khas dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan memastikan industri beralih kepada pekerjaan dan perkhidmatan nilai tinggi yang menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekerja, katanya.

Beliau turut menyarankan supaya insentif khas disediakan kepada industri yang mengutamakan pekerja tempatan.

Nurammar berkata dalam mengenal pasti bidang-bidang keberhasilan utama baharu yang boleh menganjak ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, kerajaan perlu melihat industri pembuatan bukan makanan, industri halal dan eksport yang perlu diisi oleh Bumiputera.

Beliau berkata peniaga-peniaga Bumiputera perlu diberi peluang untuk memiliki pusat-pusat ekonomi tempatan sama ada secara bersendirian ataupun kerjasama dengan bukan Bumiputera.

“Pusat-pusat ekonomi yang akan diwujudkan itu juga perlu memberi peluang kepada PKS dalam pemasaran barangan,” kata beliau.

PPIPBM telah 26 tahun beroperasi dengan keahlian berdaftar sebanyak 1,500 syarikat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories