Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Cuti Paterniti: Majikan Bantah, Kerajaan Mahu Bincang

KERAJAAN beri jaminan untuk mencari penyelesaian berhubung isu cuti paterniti bagi pekerja swasta, termasuk mengadakan perbincangan dengan majikan, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, perbincangan dengan pihak berkepentingan merupakan jalan terbaik apatah lagi isu berkenaan mendapat bantahan majikan.

Kerajaan, katanya akan membuat rayuan berhubung pemberian cuti paterniti itu yang seharusnya dilihat mendatangkan kebaikan, terutama terhadap institusi kekeluargaan.
“Memanglah ada kekangan dalam kalangan majikan,” katanya, merujuk bantahan dikemukakan Pengarah Eksekutif Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan terhadap cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti tiga hari kepada pekerja sektor swasta.

“Dari segi cuti ini (paterniti), memang baik kalau dapat sebab kita akan datang sudah menjadi negara tua. Kita menggalakkan ramai dapatkan anak. Jadi, cuti ini boleh dipertimbangkan tetapi kita belum bincang secara terperinci.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Muzium Diraja, Kuala Lumpur semalam.

Shamsuddin, dalam satu kenyataannya, sebelum ini mendakwa pindaan Akta Kerja 1955 membabitkan pemberian cuti wajib selama tiga hari itu kerana isteri bersalin akan menyebabkan majikan terpaksa menanggung kos lebih RM150 juta setahun.

Isu itu dibangkitkan susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang dilaporkan berkata, draf pindaan Akta Kerja 1955 sedang disiapkan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tujuan memperkenalkan cuti paterniti.

Draf itu perlu dibentangkan di Parlimen selepas perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, selain wakil kesatuan sekerja dan majikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories