Gambar hiasan

MTUC Nafi Tolak Ratifikasi C87

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2019 — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menafikan bahawa ia menentang ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 87 (C87) seperti yang dinyatakan Kementerian Sumber Manusia.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata MTUC juga tidak pernah mendesak kerajaan meratifikasi dan melaksanakan semua peruntukannya di bawah konvesnyen itu serta-merta.

“Merujuk kepada C87, MTUC tidak pernah mendesak kerajaan meratifikasi dan melaksanakan semua peruntukannya (konvensyen) serta-merta, sebaliknya terbuka kepada cadangan untuk melaksanakannya secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia semalam yang kesal dengan kenyataan MTUC untuk mendapatkan bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar Malaysia meratifikasi Konvensyen 87 (C87), yang menyentuh tentang kebebasan asas persatuan semua pekerja, termasuk pekerja asing.

Kementerian itu juga menyifatkankan badan kongres itu lupa dengan pendiriannya yang menolak prinsip C87, berkait kebebasan untuk menubuhkan pelbagai kesatuan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada perpecahan kesatuan di tempat kerja.

Pada Khamis lepas, Solomon ketika berucap pada persidangan ulang tahun ke-100 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva meminta pusat buruh global PBB berusaha sedaya-upaya agar Malaysia meratifikasi C87.

Menurut Solomon prinsip asas konvensyen berkenaan adalah untuk memberikan hak mutlak kepada setiap pekerja untuk menyertai kesatuan tanpa mengira sama ada dia sebagai pekerja tempatan atau pekerja asing.

Menjelas lanjut, Solomon berkata C87 bukan hanya menyentuh kebebasan pekerja menyertai kesatuan tetapi ia juga mempunyai peruntukan yang mengiktiraf hak pekerja melancarkan mogok tanpa kekangan undang-undang.

“C87 juga memberi kesatuan hak kepada mengadakan rundingan kolektif serta-merta setelah didaftarkan…semua hak ini tidak terkandung dalam apa-apa cadangan kerajaan,” katanya.

Dalam isu hak kebebasan berpersatuan, MTUC berpendirian bahawa kebebasan untuk menubuh pelbagai kesatuan di sesuatu tempat kerja belum sesuai dilaksanakan buat masa ini demi keharmonian industri, gerakan kesatuan dan kebajikan pekerja, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories