Kejuruteraan Risiko Uji Kebolehan Siti Fairoza Amalinna

Wartawan Bernama – Voon Miaw Ping

Siti Fairoza Amalinna Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2017 (Bernama) — Wanita Malaysia harus berbangga dengan pencapaian Siti Fairoza Amalinna Abdul Ghani kerana berjaya melakar nama dalam bidang pekerjaan yang sebelum ini hanya dikuasai kaum adam.

Penulis sendiri berasa teruja dapat bersua muka dengan jurutera risiko wanita pertama Malaysia ini yang pada masa ini berkhidmat dengan industri brokeraj insurans.

Untuk wawancara dengan Bernama, wanita ini mengenakan pakaian korporat serta bertumit tinggi. Bagi yang tidak mengenali Siti Fairoza, mereka mungkin akan beranggapan beliau adalah seorang eksekutif syarikat.

Di sebalik pekerjaan yang mencabar dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal, wanita ini begitu lemah lembut dan mempunyai perwatakan yang mempersonakan.

Jurutera risiko lazimnya berkhidmat dengan firma insurans yang menaja jamin risiko untuk pelanggan yang terbabit dalam operasi berbahaya atau sektor seperti penerbangan, marin, minyak dan gas dan utiliti.

 

PECAH TRADISI

Siti Fairoza, 30, menjadi jurutera risiko wanita pertama di negara ini lima tahun lepas. Hari ini beliau masih kekal sebagai satu-satunya jurutera risiko wanita dalam kalangan kira-kira 150 jurutera risiko di Malaysia.

“Sebelum saya menyertai bidang ini ada beberapa orang jurutera risiko wanita tetapi mereka semua sudah meninggalkan kerjaya ini kerana ada keutamaan lain,” katanya.

Ditanya mengapa beliau berminat dalam bidang berkenaan, menurut Siti Fairoza, ianya berlaku secara kebetulan apabila memohon jawatan itu yang diiklan dalam satu portal pekerjaan.

Beliau memberitahu Bernama, selepas tamat pengajian kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Onn, beliau bekerja sebagai jurutera projek tetapi mendapati pekerjaan itu membosankan.

“Sewaktu saya pergi temuduga untuk jawatan jurutera risiko, orang yang menemuduga saya berkata sekiranya saya diterima, saya akan menjadi wanita pertama di negara ini menyandang jawatan itu.

“Skop pekerjaan memang baru bagi saya tetapi saya dapati ianya menarik. Banyak yang perlu saya pelajari dan untuk menguji kemampuan saya tetapi saya tak menyesal menyertai bidang ini,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang memiliki Ijazah Sarjana dalam kejuruteraan kimia.

Siti Fairoza mengakui bukan mudah untuk wanita menceburi bidang yang dikuasai orang lelaki dan cabaran paling sukar supaya dirinya diterima oleh rakan sekerja.

Bukan sahaja beliau berdepan dengan tanggapan umum bahawa wanita itu adalah lemah tetapi beliau perlu membuktikan kemampuannya setanding dengan jurutera risiko lelaki yang lain.

“Perkara paling menggembirakan saya kini ialah kebanyakan mereka mengiktiraf kebolehan saya,” katanya dengan penuh rasa bangga.

 

TUGAS JURUTERA RISIKO

Siti Fairoza yang kini berkhidmat dengan Malene Insurance Brokers Sdn Bhd berkata tugasnya melibatkan penilaian risiko ke atas kemudahan perindustrian pelanggan untuk tujuan insurans.

“Laporan penilaian kami akan menentukan berapa banyak pelanggan kami perlu bayar premium insurans,” jelasnya.

Dalam menjalankan tugas sebagai jurutera risiko, Siti Fairoza telah pergi ke banyak kawasan perindustrian berisiko tinggi yang biasanya tidak boleh dimasuki orang awam termasuk loji kuasa dan landasan kereta api.

Beliau juga memanjat struktur berbahaya dan masuk ke dalam turbin untuk menjalankan kajian penilaian.

Siti Fairoza menjelaskan bahawa kejuruteraan risiko adalah bidang kejuruteraan khusus dan jurutera risiko bukan sahaja memberi khidmat penilaian profesional kepada pelanggan tetapi juga membantu aset mereka mempunyai insurans.

 

PENTING KESIHATAN MENTAL DAN FIZIKAL

Tugas Siti Fairoza memerlukan beliau berdikari dan tajam pemerhatian sepanjang masa. Beliau juga perlu sentiasa sihat fizikal dan mental untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Meskipun tugasnya berat, beliau berasa puas hati setiap kali berjaya menyiapkan projeknya.

“Saya suka dengan tugas ini dan banyak yang saya belajar,” katanya dengan menambah setiap projek biasanya mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Apabila saya melawat ke satu-satu tapak, wakil syarikat insurans akan turut serta,” katanya.

Ditanya jika ada pengalaman menarik untuk dikongsi, Siti Fairoza memberi contoh lawatan kerjanya ke loji kuasa hidro di Tasik Kenyir, Terengganu tahun lepas. Bukan sahaja beliau berpeluang melihat kemudahan yang berteknologi tinggi tetapi juga keindahan alam sekeliling tasik berkenaan.

Beliau juga berasa teruja dengan pemeriksaan landasan kereta api KTM Bhd di seluruh Semenanjung Malaysia.

Seperti ahli profesional lain yang terbabit dalam pekerjaan berisiko tinggi, jurutera risiko juga mengambil berat aspek keselamatan apabila melakukan lawatan tapak.

“Tidak ada tolak ansur dalam soal keselamatan. Kami pastikan ada kelengkapan keselamatan apabila membuat kerja-kerja penilaian. Kami perlu peka dengan keadaan sekeliling pada setiap masa,” katanya.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Categories